Imam Abu Hasan al-Asy’ari
Nama sebenarnya
ialah Ishaq ibnu Salim ibnu Ismail ibnu Abdullah ibnu Musa ibnu Bilal ibnu Abi
Burdah ibnu Abu Musa Abdullah. Beliau dilahirkan pada tahun 260 Hijriah di
Basrah, Iraq selepas 55 tahun Imam Syafi’e meninggal dunia.
Beliau merupakan
pemimpin ahli kalam, pendukung sunnah Rasulullah S.A.W, pembantu agama yang
mahir dalam bidang keilmuan dan giat berusaha menjaga kesucian aqidah umah
Islam.
Ramai ulama’ telah
menyatakan bahawa pada mulanya beliau dibesarkan di bawah didikan bapa tirinya
Abdul Wahab al-Jubaie; seorang ulama’ besar Mu’tazilah. Dikatakan beliau
menjadi anak murid kesayangan al-Jubaie dan sering ditugaskan untuk mewakili
al-Jubaie dalam majlis perdebatan selama 40 tahun. Namun dengan kehendak Allah
hatinya terbuka untuk mengikut jalan yang benar iaitu jalan Ahlu Sunnah wal
Jamaah. Beliau mengambil keputusan menghilangkan diri selama 15 hari. Selepas
itu beliah muncul di sebuah masjid di Basrah lalu menaiki mimbar dan menyatakan
pendirian beliau untuk keluar dari mazhab Mu’tazilah dan beramal dengan aqidah
yang betul.
Perdebatan yang
paling masyhur berlaku antara Imam Abu Hasan al-Asy’ari dengan al-Jubaie ialah
mengenai isu Islah dan Ta’dil (keadilan Allah).
Imam Abu Hasan : Apakah pendapat tuan tentang
tiga golongan ini iaitu mukmin, kafir
dan kanak-kanak? (sesudah dimatikan)
Al-Jubai : Orang mukmin
mempunyai darjat yang tinggi, orang kafir pula mempunyai kedudukan yang rendah
dan akan dimasukkan dalam neraka manakala
kanak-kanak pula adalah yang terselamat.
Imam Abu Hasan : Sekiranya kanak-kanak itu ingin
mencapai kedudukan yang tinggi (selepas kematian semasa kecil) adakah
dibolehkan?
Al-Jubaie : Tidak boleh! Kerana seorang mukmin yang
ingin mencapai kedudukan yang mulia mesti melakukan ketaatan. Sedangkan mereka
tidak mempunyai amalan seperti itu.
Imam Abu Hasan : Jika kanak-kanak itu menyatakan
itu bukan kesalahannya kerana jika dipanjangkan umurnya nescaya dia akan
melakukan ketaatan sepertimana yang dilakukan oleh orang mukmin?
Al-Jubaie : Allah telah
berfirman “Aku mengetahui jika dipanjangkan umurmu nescaya kamu akan melakukan
maksiat dan akan diazab. Maka aku menjaga kemaslahatanmu dan mematikan kamu
sebelum sampainya umur taklif”
Imam Abu Hasan : Bagaimana pula jika sekiranya
orang kafir pula berkata; Engkau mengetahui keadaanku sepertimana Engkau
mengetahui keadaan kanak-kanak tersebut. Maka mengapa Engkau tidak menjaga
kemaslahatanku (mematikan aku semasa kecil)?
Mendengar soalan
tersebut al-Jubaie terdiam dan tidak dapat memberikan jawapan. Perdebatan ini
juga menjadi punca Imam Abu Hasan meninggalkan fahaman Mu’tazilah.
KEPERIBADIAN BELIAU
Dari sudut ibadah
Imam Abu Hasan merupakan seorang yang sangat zuhud dan wara’. Menurut
sahabatnya beliau solat subuh dengan wudhu solat isya’ selama 20 tahun.
Beliau juga hanya
memakan hasil tanaman dari tanah yang diwakafkan oleh datuknya Bilal bin Abi
Burdah ibnu Abu Musa al-Asy’ari kepada keturunannya. Beliau hanya membelanjakan
sebanyak 17 dirham setiap tahun.
KEILMUAN BELIAU
Ustaz Abu Ishaq
al-Isfirayin berkata : “sekiranya aku dibandingkan dengan Syeikh Abu al-Hasan
al-Bahili maka aku seperti setitis air dengan lautan. Aku mendengar syeikh
al-Bahili (murid Imam Abu Hasan) pernah berkata “perbandingan aku dengan
al-Asy’ari seperti setitis air dengan lautan”.
Al-Qadhi Abu Bakar
berkata : “semulia-mulia keadaanku ialah aku memahami kalam Abu Hasan
al-Asy’ari”
Ibn Asakir telah
meriwayatkan daripada Abu al-Ma’ali ibnu Abdul Malik al-Qadhi bahawa beliau
mendengar daripada orang yang dipercayai bahawa beliau melihat kitab-kitab
karangan Imam Abu Hasan melebihi dua hingga tiga ratus buah kitab.
KEWAFATAN BELIAU
Imam Abu Hasan
al-Asy’ari wafat di Baghdad pada tahun 323 Hijriah bersamaan 939 Masihi.
Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Asakir. Beliau dikebumikan di Masra’ah
al-Rawayat. Al-Qabis berkata : “telah meninggal al-Asy’ari. Pada hari dia wafat
ahli sunnah menangis di atas kewafatannya sedangkan ahli bid’ah merasa lega
dengan kewafatannya”.
MAZHAB ASYA’IRAH
Mazhab Asya’irah atau I’tiqad Asya’irah ialah
satu aliran aqidah yang dipelopori oleh Imam Abu Hasan yang merupakan pegangan
Ahlu Sunnah wal Jamaah sehingga ke hari ini. Imam Abu Hasan al-Asy’ari tidak
mereka-reka pendapat yang baru dan tidak juga menubuhkan mazhab yang lain
tetapi beliau memperakui mazhab ulama salaf dan menyambung pegangan
sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W.
Syeikh Izzuddin ibn
Abdul Salam pernah menyebut : “Aqidah Abu Hasan al-Asy’ari terhimpun di
dalamnya ulama’ Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali”, kata-kata beliau ini
disepakati oleh ulama’ mazhab Maliki pada zamannya iaitu Abu Amru ibnu al-Hijab
dan syeikh mazhab Hanafi, Jamaluddin al-Hasiri.
Keistimewaan Imam
Abu Hasan al-Asy’ari dalam menyusun fahamnnya ialah beliau mengutamakan
dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah serta mempertimbangkan akal dan fikiran.
Berbeza dengan fahaman mu’tazilah yang mendasari fahaman mereka dengan akal dan
falsafah dari Yunani.
Antara kekeliruan
besar yang meracuni aqidah umat Islam pada hari ini ialah desas desus yang
mengatakan bahawa aqidah asya’irah bukanlah aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah yang
sebenar. Ketahuilah sesungguhnya tidak ada satu pun fakta yang tepat untuk
meletakkan i’tiqad Asya’irah ini tidak sejajar dengan aqidah yang betul.
No comments:
Post a Comment