"keutamaan doa"

"dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku maka beritahu kepada mereka): sesungguhnya aku (ALLAH) sentiasa hampir kepada mereka, aku perkenankan permohonan orang yang berdoa kepadaku. maka hendaklah mereka menyahut seruanku(dengan mematuhi perintahku) dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul." (surah GHAFIR:60)

Friday 10 October 2014

TOKOH AQIDAH AHLU SUNNAH WAL JAMAAH


Imam Abu Hasan al-Asy’ari
Nama sebenarnya ialah Ishaq ibnu Salim ibnu Ismail ibnu Abdullah ibnu Musa ibnu Bilal ibnu Abi Burdah ibnu Abu Musa Abdullah. Beliau dilahirkan pada tahun 260 Hijriah di Basrah, Iraq selepas 55 tahun Imam Syafi’e meninggal dunia.
Beliau merupakan pemimpin ahli kalam, pendukung sunnah Rasulullah S.A.W, pembantu agama yang mahir dalam bidang keilmuan dan giat berusaha menjaga kesucian aqidah umah Islam.
Ramai ulama’ telah menyatakan bahawa pada mulanya beliau dibesarkan di bawah didikan bapa tirinya Abdul Wahab al-Jubaie; seorang ulama’ besar Mu’tazilah. Dikatakan beliau menjadi anak murid kesayangan al-Jubaie dan sering ditugaskan untuk mewakili al-Jubaie dalam majlis perdebatan selama 40 tahun. Namun dengan kehendak Allah hatinya terbuka untuk mengikut jalan yang benar iaitu jalan Ahlu Sunnah wal Jamaah. Beliau mengambil keputusan menghilangkan diri selama 15 hari. Selepas itu beliah muncul di sebuah masjid di Basrah lalu menaiki mimbar dan menyatakan pendirian beliau untuk keluar dari mazhab Mu’tazilah dan beramal dengan aqidah yang betul.
Perdebatan yang paling masyhur berlaku antara Imam Abu Hasan al-Asy’ari dengan al-Jubaie ialah mengenai isu Islah dan Ta’dil (keadilan Allah).
Imam Abu Hasan               : Apakah pendapat tuan tentang tiga golongan ini iaitu  mukmin, kafir dan  kanak-kanak? (sesudah dimatikan)
Al-Jubai                              : Orang mukmin mempunyai darjat yang tinggi, orang kafir pula mempunyai kedudukan yang rendah dan akan dimasukkan dalam neraka manakala  kanak-kanak pula adalah yang terselamat.
Imam Abu Hasan              : Sekiranya kanak-kanak itu ingin mencapai kedudukan yang tinggi (selepas kematian semasa kecil) adakah dibolehkan?
Al-Jubaie                         : Tidak boleh! Kerana seorang mukmin yang ingin mencapai kedudukan yang mulia mesti melakukan ketaatan. Sedangkan mereka tidak mempunyai amalan seperti itu.
Imam Abu Hasan             : Jika kanak-kanak itu menyatakan itu bukan kesalahannya kerana jika dipanjangkan umurnya nescaya dia akan melakukan ketaatan sepertimana yang dilakukan oleh orang mukmin?
Al-Jubaie                          : Allah telah berfirman “Aku mengetahui jika dipanjangkan umurmu nescaya kamu akan melakukan maksiat dan akan diazab. Maka aku menjaga kemaslahatanmu dan mematikan kamu sebelum sampainya umur taklif”
Imam Abu Hasan            : Bagaimana pula jika sekiranya orang kafir pula berkata; Engkau mengetahui keadaanku sepertimana Engkau mengetahui keadaan kanak-kanak tersebut. Maka mengapa Engkau tidak menjaga kemaslahatanku (mematikan aku semasa kecil)?

Mendengar soalan tersebut al-Jubaie terdiam dan tidak dapat memberikan jawapan. Perdebatan ini juga menjadi punca Imam Abu Hasan meninggalkan fahaman Mu’tazilah.
 KEPERIBADIAN BELIAU
Dari sudut ibadah Imam Abu Hasan merupakan seorang yang sangat zuhud dan wara’. Menurut sahabatnya beliau solat subuh dengan wudhu solat isya’ selama 20 tahun.
Beliau juga hanya memakan hasil tanaman dari tanah yang diwakafkan oleh datuknya Bilal bin Abi Burdah ibnu Abu Musa al-Asy’ari kepada keturunannya. Beliau hanya membelanjakan sebanyak 17 dirham setiap tahun.
KEILMUAN BELIAU
Ustaz Abu Ishaq al-Isfirayin berkata : “sekiranya aku dibandingkan dengan Syeikh Abu al-Hasan al-Bahili maka aku seperti setitis air dengan lautan. Aku mendengar syeikh al-Bahili (murid Imam Abu Hasan) pernah berkata “perbandingan aku dengan al-Asy’ari seperti setitis air dengan lautan”.
Al-Qadhi Abu Bakar berkata : “semulia-mulia keadaanku ialah aku memahami kalam Abu Hasan al-Asy’ari”
Ibn Asakir telah meriwayatkan daripada Abu al-Ma’ali ibnu Abdul Malik al-Qadhi bahawa beliau mendengar daripada orang yang dipercayai bahawa beliau melihat kitab-kitab karangan Imam Abu Hasan melebihi dua hingga tiga ratus buah kitab.
KEWAFATAN BELIAU
Imam Abu Hasan al-Asy’ari wafat di Baghdad pada tahun 323 Hijriah bersamaan 939 Masihi. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Asakir. Beliau dikebumikan di Masra’ah al-Rawayat. Al-Qabis berkata : “telah meninggal al-Asy’ari. Pada hari dia wafat ahli sunnah menangis di atas kewafatannya sedangkan ahli bid’ah merasa lega dengan kewafatannya”.


MAZHAB ASYA’IRAH
 Mazhab Asya’irah atau I’tiqad Asya’irah ialah satu aliran aqidah yang dipelopori oleh Imam Abu Hasan yang merupakan pegangan Ahlu Sunnah wal Jamaah sehingga ke hari ini. Imam Abu Hasan al-Asy’ari tidak mereka-reka pendapat yang baru dan tidak juga menubuhkan mazhab yang lain tetapi beliau memperakui mazhab ulama salaf dan menyambung pegangan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W.
Syeikh Izzuddin ibn Abdul Salam pernah menyebut : “Aqidah Abu Hasan al-Asy’ari terhimpun di dalamnya ulama’ Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali”, kata-kata beliau ini disepakati oleh ulama’ mazhab Maliki pada zamannya iaitu Abu Amru ibnu al-Hijab dan syeikh mazhab Hanafi, Jamaluddin al-Hasiri.
Keistimewaan Imam Abu Hasan al-Asy’ari dalam menyusun fahamnnya ialah beliau mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah serta mempertimbangkan akal dan fikiran. Berbeza dengan fahaman mu’tazilah yang mendasari fahaman mereka dengan akal dan falsafah dari Yunani.
Antara kekeliruan besar yang meracuni aqidah umat Islam pada hari ini ialah desas desus yang mengatakan bahawa aqidah asya’irah bukanlah aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah yang sebenar. Ketahuilah sesungguhnya tidak ada satu pun fakta yang tepat untuk meletakkan i’tiqad Asya’irah ini tidak sejajar dengan aqidah yang betul.



No comments:

Post a Comment