
Bediuzzaman Said Nursi dilahirkan pada
tahun 1877 di kampung bernama Nurs, di timur Anatolia. Perkataan Nursi pada
akhir nama beliau adalah sempena nama kampungnya ini. Beliau menerima
pendidikan awal dalam berbagai bidang agama dan sains dari beberapa ulama
terkenal di sekitar daerah nya dan di beberapa daerah lain di Turki. Ketika
masih muda, beliau telah menunjukkan kepandaian dan kemahiran yang luar biasa
di dalam pelajaran. Hal ini membuatkan beliau terkenal bukan sahaja di kalangan
guru dan rakan-rakan tetapi juga orang ramai. Dalam masa yang singkat, beliau
mampu mendalami ilmu Tafsir, Hadith, Fiqh, Mantiq, Logik dan Nahu.
Beliau juga berjaya menghafal lebih
kurang 80 buah Matan. Semasa masih berusia 16 tahun, beliau telah mengalahkan
beberapa ulama terkemuka yang telah menjemputnya ke beberapa majlis perbahasan.
Ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan ulama. Mereka
kemudian menggelarnya Bediuzzaman atau Keunggulan Zaman.
Pengalaman beliau dalam berbagai bidang
pendidikan yang dilalui telah mengubah fikirannya untuk memikirkan cara
menghasilkan sistem pendidikan yang bersepadu. Ketika itu dunia sedang memasuki
satu zaman baru yang membawa angin erubahan di mana ilmu sains dan ilmu mantik
(logik) memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar
di sekolah-sekolah moden, dan sebaliknya ilmu sains moden perlu diajar di
sekolah-sekolah agama.
Katanya, “Dengan cara ini, para pelajar
di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama
dilindungi dari sikap taasub”. Dalam usaha merealisasikan cita-citanya ini,
beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama pada tahun 1896
dan kali keduanya pada tahun 1907. Di sana beliau telah cuba meyakinkan Sultan
Abdul Hamid supaya membina sebuah universiti di Anatolia (Turki Timur) yang
mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu. Pada masa itu, ketika cuba
meyakinkan Sultan Abdul Hamid, Bediuzzaman telah menggunakan bahasa yang agak
kasar sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di
mahkamah tentera. Di mahkamah tentera beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walau bagaimanapun, doktor yang memeriksanya telah mengatakan “Jika Bediuzzaman dianggap gila, maka tidak akan ada seorang pun manusia yang siuman di dalam dunia ini”. Selepas itu, beliau terus dibebaskan.
mahkamah tentera. Di mahkamah tentera beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walau bagaimanapun, doktor yang memeriksanya telah mengatakan “Jika Bediuzzaman dianggap gila, maka tidak akan ada seorang pun manusia yang siuman di dalam dunia ini”. Selepas itu, beliau terus dibebaskan.
Ustaz Bediuzzaman sering kali menjadi
sasaran fitnah yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika
berlakunya pemberontakan pada 31 Mac, 1909, beliau telah ditangkap dan
dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya
pada masa itu, beliau telah cuba menenteramkan keadaan sehingga telah berjaya
pada sesuatu peringkat. Apabila mayat orang-orang yang dihukum gantung masih di
tali gantung di luar tingkap mahkamah, Bediuzzaman telah berjaya berhujah
mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan. Seterusnya, beliau
kembali ke Anatolia Timur dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk
menerangkan kepada rakyat bahawa satu gerakan pembebasan yang sedang ditubuhkan
di Turki tidak bertentangan dengan Islam. Beliau telah
memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi adalah
bertentangan dengan undang-undang Islam. Perundangan Islam hanya akan
berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana yang bebas. Kemudian
beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku
bertajuk Perbahasan.

Di dalam Perang Dunia Pertama,
Bediuzzaman telah dilantik sebagai komander pasukan sukarelawan di medan perang
Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di
medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima Tentera Turki Kerajaan
Uthmaniah, Anwar Pasya, Menteri Pertahanan dan Ketua Angkatan Tentera ketika
itu.
Pasukannya telah digelar “Pasukan Topi
Berbulu”. Pasukan ini telah menakutkan tentera Russia dan pengganas Armenia
ketika itu. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya yang bertajuk
“Isyaratul I’jaz” di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau
menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan di medan
perang. Tafsir ini kemudiannya mendapat penghargaan daripada para ulama
terkenal di Turki dan Kaherah.
Dalam satu pertempuran menentang
pencerobohan tentera Russia, Bediuzzaman dan 90 pegawai tentera yang lain telah
ditawan dan dihantar ke khemah tahanan perang di Kosturma, berdekatan Siberia
di barat laut Russia selama 2 tahun. Di sini, Bediuzzaman pernah dijatuhkan
hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua
Angkatan Tentera Russia di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa
saudara Czar, Raja Russia ketika itu. Walau bagaimanapun, hukuman itu
kemudiannya dibatalkan. Peristiwa itu adalah seperti berikut:
Pada satu hari, Jeneral Nicholas
Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan
Bediuzzaman tetapi beliau tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa
beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata, “Saya seorang ulama Islam dan
di dalam hati saya ada iman. Sesiapa sahaja yang ada iman di dalam hatinya
adalah lebih mulia daripada mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak
bertentangan dengan iman saya”. Akibat dari peristiwa itu beliau kemudiannya
dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati.

Berikutnya, kekacauan yang meletus pada
awal musim bunga tahun 1918 kerana Revolusi Komunis di Russia telah memberi
peluang kepada Bediuzzaman untuk melepaskan diri dari tahanan di Kosturma.
Selepas melakukan satu perjalanan yang jauh sekali, melalui beberapa negara
Eropah, beliau pun sampai ke Istanbul pada bulan Jun 1918. Di Istanbul, beliau
dianugerahi pingat penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anwar Pasya,
telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau
menolak. Namun, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi
anggota Darul Hikmah Al-Islamiah tanpa pengetahuannya. Setelah mengetahui
pelantikannya itu, beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan
ilmiah semata-mata.
Semasa negara Turki dicerobohi oleh
tentera British selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1918
hingga 1919, Bediuzzaman telah menunjukkan penentangan
yang terang-terangan terhadap penjajah British. Hal ini hampir melibatkan
nyawanya melayang. Katakata beliaukepada pihak British telah ditulis di dalam
akhbar harian. Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak
British. Dengan pertolongan Allah beliau terpelihara daripada ancaman
tersebut dan seterusnya berhadapan dengan tugas dan cabaran-cabaran baru.
Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah
menjemputnya ke Ankara tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput
sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju untuk ke Ankara. Beliau disambut
oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh
istiadat. Walaubagaimanapun, beliau mendapati apa yang ada di Ankara tidaklah
serupa dengan apa yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan
Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau
mengeluarkan satu kenyataan untuk mengajak para perwakilan menunaikan kewajipan
bersolat. Pada mulanya 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan
kemudiannya angka ini semakin bertambah.
Bediuzzaman menghabiskan masanya selama
lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van pada 17 April 1923. Beliau
menghabiskan masa selama dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat
dan berzikir. Selepas itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki pada bulan
Februari 1925. Para pemberontak meminta sokongan Bediuzzaman kerana beliau
sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata,
“Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk
digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Ia
akan mengakibatkan beribu-ribu orang lelaki dan wanita yang tidak bersalah
terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah”.
Seterusnya Bediuzzaman difitnah dan
beliau dibuang daerah ke Burdur pada akhir bulan Mac 1925. Di sini, beliau
dikenakan pengawasan ketat sehingga mengakibatkan beliau
menderita. Keadaan ini langsung tidak menyekat beliau dari menyebarkan
kebenaran iman kepada orang ramai di sekelilingnya dengan mengumpul segala
hasil penulisannya dalam bentuk buku.
Kegiatannya ini telah dapat dikesan
lalu dilaporkan kepada pihak berkuasa di Ankara menyebabkan satu rancangan
diatur untuk menyekatnya. Mereka kemudiannya menghantar beliau ke sebuah rumah
tahanan di Barla pada tahun 1926 yang merupakan satu tempat terpencil di
bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka
berharap suasana tempat ini akan menyebabkan Bediuzzaman mati dalam tahanan
rumah keseorangan.
KEMUNCULAN RISALAH AN-NUR (RISALAH
YANG BERCAHAYA)
Sebenarnya penyebaran iman bukanlah
sesuatu yang perlu dibimbangkan. Berdakwah juga bukanlah satu jenayah yang
melayakkan nyawa seseorang diancam. Namun begitu, hal ini dianggap satu jenayah
pada ketika itu di mana kezaliman pihak berkuasa menyelubungi negara Turki
dengan dahsyatnya. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid telah digunakan
untuk tujuan bukan keagamaan.

Dalam suasana beginilah Bediuzzaman
Said Nursi memasuki bahagian kedua hidupnya yang digelarnya “Said Jadid” (Said
Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan
dan penyebaran Risalah an-Nur mengenai iman dan Islam. Baginya kebenaran iman
ialah kebenaran sejagat yang paling penting. Membangkitkan semula iman dan
Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata, “Saya akan buktikan kepada
dunia bahawa AlQuran ialah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak
akan padam”. Maka itulah yang diperjuangkannya. Bediuzzaman tidak mati
keseorangan di Barla tetapi yang muncul ialah Said Jadid yang seumpama
matahari, menyinari berjuta-juta rakyat Turki dengan cahaya iman.
Di Barla, pengawasan ketat dan
penindasan dikenakan ke atas Bediuzzaman. Sebenarnya, musuh-musuhnya belum
mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Russia ketika Perang
Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah ke muka orang British yang
menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya terlepas dari tali gantung
sebanyak beberapa kali. Walau bagaimanapun, mereka akhirnya mengenalinya juga
apabila salah seorang dari pemimpin mereka terpaksa berkata, “Segala apa yang
kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat
Said Nursi dari meneruskan kegiatannya”.
Beliau telah menghabiskan hidupnya di
Barla selama 8 tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam
tempoh tersebut, beliau sempat menulis tiga suku daripada penulisan agung yang
berbentuk tafsir yang digelar nya Risalah an-Nur.
Kesemua penulisan dalam tafsir ini pada
peringkat awalnya ditulis dengan tangan kerana beliau dan para pelajarnya
ketika itu tidak mampu menyediakan belanja pencetakan dan mereka juga tidak
dibenarkan berbuat demikian. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan adalah
kerja merbahaya pada ketika itu. Mereka yang melakukannya telah diseksa di
dalam penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha
dijalankan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Bediuzzaman.
600,000 NASKHAH DITULIS DENGAN TANGAN
Ketika itu penulisan atau penyebaran
walaupun hanya satu karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani
lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi
pilihan Bediuzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risalah
an-Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa
benarlah kata Maryam Jamilah, “Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa
saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha
tanpa penat dari Bediuzzaman Said Nursi”.
Mereka yang telah memahami inti pati
iman melalui Risalah an-Nur mencapai tahap keimanan yang
kental sehingga mampu menunjukkan keberanian dan keperwiraan Islam yang hebat.
Bediuzzaman, yang mewakili roh perjuangan Risalah an-Nur sendiri telah menjadi
pemimpin bagi ratusan ribu pelajar dan kini telah mencapai jutaan pelajar yang
menghayati karya tersebut. Beliau telah menjadi contoh kepada orang-orang Islam
di Turki ketika itu. Beliaulah penyokong mereka di hari-hari yang penuh bahaya,
seumpama seorang ketua tentera yang memberi galakan kepada tenteranya melalui
keberanian dan kewibawaannya sendiri. Dengan ini, mereka telah berjaya menghilangkan ketakutan daripada hati
orang ramai sehingga kini maruah negara telah dapat dikembalikan.
Pada tahun 1935, Bediuzzaman bersama
125 orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di
Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka
terpaksa menghabiskan selama 11 bulan di dalam penjara Eskisehir yang penuh
dengan penderitaan. Bediuzzaman kemudiannya dipindahkan ke penjara Kastamonu
selama 7 tahun. Di sana, Beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risalah
an-Nur. Oleh sebab beliau dan para pengikutnya tidak diberi kebebasan,
mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risalah al-Nur yang dinamakan “Posmen
Nur” (Nurcu). Hasilnya, Nurcu telah berjaya menyebarkan sebanyak 600,000
naskhah Risalah an-Nur yang bertulisan tangan ke seluruh Anatolia.
Pada tahun 1943, beliau bersama 126
orang pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah di Denizli.
Kali ini beliau dituduh mencetak secara rahsia satu risalah di Istanbul
mengenai kewujudan Tuhan. Perjuangannya tidak pernah reda sama ada dalam
buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara Denizli, beliau telah bertindak
memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh
masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun
kertas dan pena tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam penjara. Oleh
itu, karya-karyanya ditulis di atas cebisan-cebisan kertas yang dikoyak dari
apa sahaja barangan yang ada. Karyanya kemudian di seludup keluar di dalam
kotak-kotak mancis.
Salah satu karyanya yang berjudul
“Buah-buah Iman” telah ditulis dengan cara ini. Perbicaraan di Denizli
berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara selepas 9 bulan
dipenjarakan. Tetapi ini tidak bermakna beliau telah diberikan kebebasan
sepenuhnya.

Kekejaman di penjara ini adalah lebih
teruk berbanding yang lain. Bediuzzaman ketika itu berumur 70 tahun dan sedang
menderita akibat berbagai penyakit. Pihak berkuasa telah meletakkannya di
sebuah bilik penjara bersendirian yang mempunyai tingkap-tingkap yang pecah
walaupun ketika itu beliau telah uzur. Di dalam bilik penjara bertingkap pecah
inilah Bediuzzaman menghabiskan dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila
melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, maka musuhnya telah
meracuninya. Ada pendapat mengatakan beliau telah diracuni sebanyak 19 kali.
Ketika beliau menderita kesakitan akibat diracun, beberapa
orang pelajarnya memberanikan diri untuk menolongnya tetapi telah ditangkap dan
diseksa dengan kejam sekali.
Akhirnya pada 20 hb. September 1949,
hukuman ke atas Bediuzzaman telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung Turki. Beliau
dibebaskan setelah mahkamah mengambil masa yang lama untuk membuat
keputusan. Pilihan raya bebas dan adil yang pertama telah diadakan di
Turki pada tahun 1950 di mana sistem pelbagai parti telah menggantikan sistem
satu parti. Pemerintahan kejam Parti Republikan Rakyat yang tidak suka pada
agama telah tamat. Pelbagai bentuk kebebasan dan hak mula diiktiraf. Satu zaman
baru telah bermula bagi sejarah Republik Turki. Pengharaman ke atas azan telah
dibatalkan dalam sidang pertama parlimen baru Turki. Dalam tahun-tahun
berikutnya, Bediuzzaman terlibat dalam hanya satu perbicaraan sahaja iaitu pada
Januari 1952 di Istanbul di mana beliau tidak ditahan. Keputusan dari
perbicaraan ini ialah beliau didapati tidak bersalah sebulat suara. Akhirnya
dalam tahun 1956, Mahkamah Agung di Afyon telah mengisytiharkan beliau dan
anak-anak muridnya tidak bersalah.
Selepas hampir seabad berkhidmat untuk
iman dan Islam, Bediuzzaman Said Nursi kembali ke
rahmatullah pada pagi 23 hb. Mac, 1960. Beliau telah pergi dengan penuh
kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya telah menyinari abad ini dan abad-abad
yang mendatang.
Bediuzzaman telah memahami sebab yang
paling penting dalam keruntuhan dunia Islam sebagai kelemahan dalam asas
keimanan. Kelemahan ini bersama serangan- serangan pada asas keimanan pada
abad ke 19 dan 20 yang dijalankan oleh fahaman kebendaan, ateis dan lainnya
atas nama sains dan kemajuan menjadikannya insaf bahawa keperluan yang mustahak
dan genting adalah untuk menguatkan dan menyelamatkan keimanan. Apa yang
diperlukan adalah untuk menggembleng semua tenaga untuk membangunkan ajaran
Islam melalui asas keimanan dan untuk menjawab persoalan-persoalan
keimanan ini pada tahap yang diperlukan dengan jihad yang maknawi.
Risalah an-Nur ialah koleksi karya yang
memberi keutamaan kepada asas keimanan dari yang berasaskan kebenaran Al-Quran
kepada manusia moden. Metodologi yang digunakannya adalah dengan menganalisis
keimanan dan kekufuran serta menunjukkan melalui hujah-hujah yang rasional dan
terang bahawa bukan sahaja keimanan boleh dibuktikan, kesemua kebenaran yang
terkandung dalam keimanan seperti kewujudan Tuhan dan keesaanNya, kerasulan dan
kebangkitan manusia di hari akhirat dalam bentuk jasad dapat dibuktikan juga.
Dalam menjelaskan keadaan yang
sebenarnya dari tujuan utama penciptaan manusia dan alam semesta ini, Risalah
an-Nur menunjukkan bahawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat hanya boleh
diperoleh dalam keimanan dan ilmu ketuhanan. Ia juga menunjukkan
kekufuran, menyebabkan roh manusia dan hatinya mengalami kesakitan dan
kesedihan yang amat sangat yang menyebabkan orang-orang yang sesat
berusaha untuk menghilangkannya melalui cara yang melalaikan dengan
menolak kenyataan.
No comments:
Post a Comment